Save Preloader image

0%

Call Us 24/7 +6013-245 0842
Opening Hours Mon - Fri 9:00 am to 6:00 pm

Honda Civic baharu lebih garang

Honda Malaysia melancarkan Civic baharu, peneraju segmen C di Malaysia yang dilengkapi dengan Teknologi Keselamatan Termaju Generasi Seterusnya, Honda SENSING.

Honda Civic baharu didatangkan dengan tiga varian iaitu 1.8S yang ditawarkan pada harga bermula RM113,600, 1.5TC (RM129,600) dan 1.5TC-P (RM139,600).

Dikuasakan oleh enjin 1.5L VTEC Turbocharged, Civic baharu menyerlahkan elemen pemanduan Honda yang mengujakan dengan prestasi dinamik dan penjimatan bahan api yang cemerlang.

Enjin VTEC Turbocharged itu juga menjanjikan ‘Keseronokan untuk Memandu’ dengan kuasa maksimum mencecah 173PS dan tork 220Nm, yang menyamai prestasi enjin bersesaran 2.4L.

Civic baharu juga ditawarkan dengan enjin 1.8L i-VTEC berkuasa 141PS dan tork 174 Nm, sesuai untuk mereka yang lebih gemarkan enjin aspirasi biasa. Kedua-dua enjin itu diiktiraf sebagai Kenderaan Cekap Tenaga (Energy Efficient Vehicle).

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Toichi Ishiyama, berkata Civic baharu juga menjadi model Jepun pertama keluaran tempatan secara besar-besaran dalam segmen C yang ditawarkan dengan lapan ciri penuh keselamatan termaju Honda SENSING.

Kami meletakkan sasaran jualan Civic baharu iaitu 1,000 unit sebulan,
Toichi Ishiyama

Civic Generasi ke-10 adalah model kegemaran rakyat Malaysia dan mendominasi segmennya dengan penguasaan pasaran sebanyak 72 peratus sepanjang tahun 2019.

Civic generasi ke-10 menjadi model pilihan ramai dalam segmennya dan berjaya dijual lebih 48,000 unit sejak dilancarkan empat tahun lalu.

Secara keseluruhannya, Civic yang diperkenalkan di Malaysia telah mencatat jualan lebih 135,000 unit setakat Januari 2020.

Menyentuh mengenai Civic baharu, dari segi luaran, ia mengetengahkan gaya sebuah ‘fastback’ yang lebih menarik.

Ia hadir dengan bampar hadapan baharu bersama gril hitam yang memberikannya penampilan yang lebih garang.

Kemasan pada bampar belakang dan spoiler belakang baharu membuatkannya nampak semakin bergaya selain dilengkapi rim aloi hitam bersaiz 18-inci baru.

Reka bentuk dan prestasi Civic baharu disempurnakan lagi dengan ruang dalamannya yang menarik setaraf dengan ciri kenderaan segmen D seperti tempat duduk dibalut kulit Baharu bersama dengan ciri standard seperti pengilap cermin hadapan automatik baharu, tempat duduk pemandu berkuasa dengan lapan talaan, penghidup enjin kawalan jauh (Remote Engine Start) dan ‘Walk Away Auto Lock’ untuk semua varian.

Semua varian Civic baharu dilengkapi pelbagai ciri keselamatan yang terbaik dalam kelasnya seperti Enam Beg Udara, Vehicle Stability Assist (VSA), Agile Handle Assist (AHA), Hill Start Assist (HSA), Emergency Stop Signal (ESS), Sistem Brek Anti-Kunci (ABS), Bantuan Membrek (BA), Auto Brake Hold (ABH), sensor hadapan baharu dan ISOFIX pada tempat duduk belakang.

Civic baharu juga ditawarkan dengan warna baharu iaitu Merah Mutiara (Passion Red Pearl) yang meningkatkan lagi penampilannya yang garang dan sporty. Pilihan warna yang lain adalah Perak (Lunar Silver Metallic), Putih Mutiara (White Orchid Pearl), Kelabu (Modern Steel Metallic) dan Hitam Mutiara (Crystal Black Pearl).

Add Comment